Monday 26 April 2010

KEHAMILAN KEMBAR

Kehamilan kembar secara amnya memberikan lebih risiko kepada ibu dan janinnya dari waktu kehamilan sehinggalah selepas kelahiran kelak. Kehamilan kembar boleh berlaku dengan lebih kerap dalam keadaan seperti usia wanita yang meningkat melebihi 35 tahun, keturunan, pengambilan ubat kesuburan dan bangsa Afrika. Wanita Asia mempunyai risiko paling rendah untuk mendapatkan kehamilan kembar berbanding wanita Afrika mahupun wanita negara Barat berkulit putih. Selepas persenyawaan satu ovum (benih wanita) oleh satu sperma (benih lelaki), ia menghasilkan satu embrio awal yang dinamakan zigot. Kembar lahir daripada persenyawaan dua ovum oleh dua sperma yang berbeza untuk menghasilkan dua zigot yang berbeza komposisi genetiknya. Kembar seiras pula lazimnya berasal daripada satu zigot saja yang kemudian terasing menjadi dua embrio kembar. Memandangkan kedua-dua kembar ini berasal daripada embrio yang sama, bukan saja rupa mereka sama, jantinanya juga sama kerana mereka mempunyai komposisi percampuran genetik ibu dan ayah yang sama atau hampir sama. Cuma apabila diuji, uniknya cap jari mereka masih berbeza. Di dalam dunia perubatan, kehamilan kembar ini lebih dikenali sebagai kembar mono-zigotik. Kembar mono-zigotik tidak dipengaruhi pengambilan ubat kesuburan, usia, bangsa dan keturunan. Dalam setiap kitaran haid wanita, sudah ada sekumpulan ovum yang bersedia untuk membesar, cuma lazimnya hanya satu ovum saja yang akan terus membesar dan keluar (melalui ovulasi) untuk disenyawakan. Ini membuahkan kehamilan dalam sekitar 15 peratus wanita saja pada sesuatu kitaran, selebihnya tidak dan berakhir dengan kedatangan haid. Itulah sebabnya kebanyakan wanita hamil dengan seorang janin saja, hanya kadangkala terdapat lebih daripada satu ovum yang mengalami ovulasi (dipengaruhi faktor di atas). Wanita yang mempunyai masalah kesuburan ovari pula tidak mengalami ovulasi dan berakhir dengan kedatangan haid. Dalam keadaan anda, pengambilan ubat kesuburan dijangka meningkatkan bilangan ovum pada sesuatu kitaran haid. Ovum ini mungkin akan mengalami ovulasi dan berpeluang untuk disenyawakan sperma suami. Lebih banyak ovum dihasilkan, lebih tinggi peluang kehamilan seseorang, namun lebih tinggi juga risiko kehamilan kembar sama ada kembar dua, tiga atau selebihnya. Kembar lapan (oktuplet) juga boleh berlaku, sama ada berasal daripada lapan ovum (menghasilkan lapan zigot) ataupun beberapa ovum menghasilkan beberapa zigot yang sama yang kemudian terpisah membentuk tambahan beberapa kembar seiras mono-zigotik. Doktor lazimnya akan memberi ubat kesuburan dalam dos yang sederhana saja (lazimnya mengikut usia), serta memantau bilangan telur yang besar oleh rangsangan ubat kesuburan terbabit supaya hanya sebilangan kecil saja telur yang diperoleh bagi meningkatkan peluang kehamilan dan pada masa sama, meminimumkan risiko kehamilan kembar. Dalam keadaan bilangan telur yang dihasilkan melebihi, doktor mungkin akan membatalkan rawatan permanian berhadas (IUI) serta menghalang persenyawaan secara menasihatkan pasangan menggunakan kondom ataupun bertukar kepada rawatan persenyawaan tabung uji (IVF). Ini kerana, dalam rawatan IVF, doktor dapat mengawal kemasukan bilangan embrio ke dalam ruang rahim. Lazimnya untuk usia anda, hanya satu atau maksimum dua saja embrio (jika anda masih bertegas) akan dimasukkan, selebihnya akan dibekukan. Itupun masih meningkatkan risiko kehamilan kembar dua atau kembar tiga, empat dan seterusnya jika embrio yang sama membahagi atau terpisah kepada dua lagi embrio. Ubat kesuburan tidak meningkatkan risiko kehamilan kembar mono-zigotik (seiras genetiknya). Namun, anda masih berpeluang sedikit untuk mendapatkan kembar seiras rupa fizikalnya walaupun berasal daripada zigot berlainan, cuma masih berbeza komposisi genetiknya. Ini kerana anak-anak, sama ada dilahirkan serentak secara kembar mahupun berlainan masa atau tahun adik-beradik, masih lagi membawa genetik ayah dan ibunya. Ini dapat dilihat pada sesetengah keluarga yang mempunyai anak kecil yang sangat menyerupai abang atau kakaknya. Anda juga (seperti sesiapa saja wanita lain) masih boleh mendapat kehamilan kembar mono-zigotik jika embrio terbabit (walaupun hanya satu) terpisah kepada dua embrio sendirinya, bukannya disebabkan ubat kesuburan. Bergantung kepada masa embrio mono-zigotik ini terpisah, kembar yang terhasil boleh sama ada kembar berlainan uri dan kantung (jika pemisahan berlaku dalam masa dua hari awal), atau kembar berkongsi uri tapi berlainan kantung (jika pemisahan berlaku pada hari ketiga hingga kelapan selepas persenyawaan), ataupun kembar berkongsi uri dan berkongsi kantung (jika pemisahan embrio berlaku pada hari kesembilan hingga ke-12 selepas persenyawaan), ataupun kembar siam bercantum yang berkongsi uri dan kantung (jika pemisahan embrio berlaku selepas 12 hari persenyawaan). Kembar berkongsi uri memberi lebih risiko kepada janin memandangkan mereka ‘berebut’ bekalan daripada uri yang sama.

No comments:

Post a Comment