WABAK menjadi satu perkataan utama di kalangan media cetak dan elektronik bulan ini berikutan kemunculan virus baru di Mexico dan juga kes meningitis di Melaka. Namun, ini bukan kali pertama negara, dan juga dunia, digemparkan dengan berita wabak pandemik dengan kemunculan virus Nipah, Japanese encephalitis (JE) dan selesema burung H5N1.
Apa yang lebih penting untuk difahami umum adalah penularan penyakit berjangkit bawaan virus mahupun bakteria ini bukan hanya berkaitan isu bawaan haiwan, tetapi turut berkait rapat dengan tahap kebersihan diri dan persekitaran.
Apa yang lebih penting untuk difahami umum adalah penularan penyakit berjangkit bawaan virus mahupun bakteria ini bukan hanya berkaitan isu bawaan haiwan, tetapi turut berkait rapat dengan tahap kebersihan diri dan persekitaran.
Bersih untuk selamat
Sebelum ini kita dimaklumkan bagaimana selesema burung H5N1 mudah disebarkan melalui bangkai dan najis haiwan dijangkiti. Influenza A H1N1 yang sebelum ini dikenali sebagai selesema babi pula dikaitkan dengan haiwan yang dikenali hidup dalam kotoran, dan menjadi hos kepada bermacam jenis penyakit haiwan dan manusia.
Terbaru, meningitis pula muncul yang berpunca daripada penyebaran kuman pada permukaan yang tercemar, dari pesakit kepada individu lain. Jelas sekali ketiga-tiga penyakit ini berjangkit melalui ‘kekotoran’, dan lebih penting lagi ia sebenarnya boleh dicegah dan dikawal daripada terus merebak.
Untuk kes selesema (flu) H5N1 atau H1N1, tidak banyak yang boleh dibuat untuk kaedah penyebaran melalui udara virus influenza, tetapi penyebaran melalui sentuhan fizikal dapat dielakkan dengan menjauhkan diri daripada bangkai atau najis haiwan yang dijangkiti. Secara mudahnya, jauhkan ladang ternakan haiwan dari penempatan manusia dan pastikan sisa najis mana-mana haiwan sekalipun tidak dibuang berhampiran atau mencemari sumber air. Dari segi pemakanan daging haiwan terbabit, virus tersebut dapat dibunuh jika daging dibersihkan dan dimasak dengan elok.
Meningitis melibatkan isu kebersihan persekitaran yang boleh menyebarkan kuman dari pesakit kepada individu sihat. Beberapa virus dan bakteria punca meningitis boleh dicegah melalui pengambilan vaksin tetapi untuk yang selebihnya, penjagaan kebersihan adalah cara pencegahan terbaik.
Mencegah atau mengubati
Permukaan rata seperti meja, kerusi, peralatan kerja mahupun rel tangga (pejabat, pengangkutan awam, rumah) boleh dicemari kuman dari pesakit melalui cecair badan. Kuman dari cecair badan pesakit boleh memasuki badan individu sihat melalui luka, mata atau melalui salur penghadaman.
Penyakit berjangkit juga tidak semestinya hanya yang menggemparkan dunia tetapi turut melibatkan kuman biasa punca keracunan makanan (salmonella, kolera) mahupun yang disebar air banjir (leptospirosis). Kes keracunan makanan juga sering kali berlaku di sekolah dan juga di gerai atau restoran kotor yang kebanyakannya tidak dilaporkan.
Asas mudah kuman merebak melalui ‘kekotoran’ menunjuk kepada asas mudah pencegahan iaitu menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Tindakan membasuh tangan menjadi asas utama dalam pencegahan penyakit berjangkit kerana tangan banyak memegang permukaan yang mudah dicemari dan tangan juga memindahkannya ke muka, mata, ke dalam mulut mahupun kepada individu lain.
Namun, membasuh tangan dengan air sahaja mungkin tidak mencukupi. Gunakan sabun antiseptik selagi boleh bagi mempastikan kuman pada permukaan tangan dan juga di bawah kuku dihapuskan. Tabiat mencuci tangan juga perlu dilakukan sebelum dan selepas menjalankan sebarang aktiviti, termasuklah makan, ke tandas, bersenam atau memegang permukaan tertentu di tempat awam.
Pihak berkuasa, pihak pengusaha perkhidmatan awam, pengurusan bangunan dan juga pengusaha restoran juga perlu mengambil langkah yang paling mudah dengan membersihkan sekerap mungkin permukaan yang sering disentuh orang ramai, di samping menyediakan produk antiseptik di tandas dan tempat mencuci tangan. Tempat tumpuan awam bukan sahaja perlu sentiasa dibersihkan dari sampah-sarap malahan dibersihkan dari kuman pada permukaan meja, rel tangan mahupun peralatan untuk kerja dan makan yang boleh menyebarkan virus mahupun bakteria punca penyakit.
Asas mudah kebersihan juga menekankan menjaga adab di tempat awam. Jangan batuk atau bersin ke arah orang lain atau meludah di merata tempat. Gunakan tisu, sapu tangan atau tutup mulut dengan tangan jika batuk atau bersin bagi mengelakkan penyebaran kuman kepada orang di sekitar anda. Dan paling penting, jangan lupa membasuh tangan anda supaya tidak pula disebarkan pada permukaan lain jika hingus di tangan disapu ke rel tangan atau permukaan meja.
Penyakit sememangnya mudah merebak, tetapi ianya juga bukan mustahil untuk dikawal atau dicegah. Pastikan anda memilih kebersihan dalam hidup dengan asas mudah, jaga adab, pilih yang bersih dan basuh tangan anda.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment